Mereka kata, mereka faham dengan situasi kita, perasaan kita. Tapi sejauh mana kefahaman mereka pada apa yang kita rasa? Mereka hanya betul-betul faham bila mereka juga lalui apa yang kita lalui.
Aku disini lagi. Ditempat yang sukar untuk manusia memikirkan logiknya tempat ini. Tiada sebarang bentuk awan menghiasi langit. Langit kosong dan berwajah kelam sehingga menutupi bukit-bukit yang mengelilingi kawasan ini. Pohon-pohon daun jejarum yang tumbuh diatas bumi ini tegak berdiri kaku. Walaupun angin sekali sekali menderu kencang, bagaikan tiada kesan pada pohon-pohon tersebut. Namun begitu, ada di antaranya condong berlainan arah seperti jari jemari yang dibengkokkan dan ada juga yang sudah menyembah bumi.
Rumpur-rumput juga bagai ditelan bumi. Suatu ketika dahulu, aku sungguh riang memijak dan merasai kelembutan rumput-rumput ditapak kaki ku. Nyaman, sejuk dan terasa basah kerana rumput-rumput itu mengeluarkan air mata dari perut bumi. Titisan air yang berada di atas rumput-rumput tersebut bagaikan mutiara yang jernih dan berkilau apabila cahaya mentari menyinari alam. Tetapi kini, tidak lagi. Aku memijak pasir. Pada penglihatan aku, pasirnya kelihatan halus. Tersentuh kulit tapak kakiku, terasa peritnya sehingga menjalar ke urat saraf ku. Bagaikan aku memijak serpihan kaca. Kaki ini terus melangkah walaupun kelihatan bengkak kerana memijak pasir ini. Sungguh aku keliru dengan keadaan ini. Aku bingung.
Aku melihat sekali lagi ke arah langit. Ku pejamkan mata sambil deria pendengaran cuba menangkap bunyi siulan burung-burung. Aku mengharapkan, pabila mata ini terbuka, akan kelihatan burung-burung yang menari riang di dada langit. Alangkah kecewanya aku. Tiada walau seekor burung pun yang berterbangan. Bagaikan ada sesuatu membuatkan burung-burung tersebut takut pada bayang-bayang aku. Apatah lagi diriku ini. Yang ada hanyalah bunyi-bunyi yang menyakitkan gegendang telinga.
Sedang aku dalam keadaan tidak tentu arah, aku terpandang sekuntum bunga. Bunga cincin. Aku tersenyum dan terus aku berlari untuk dapatkannya. Aku gembira kerana walaupun aku di tempat yang sungguh memeritkan, masih ada yang dapat menggembirakan aku. Sungguh aku tersenyum riang. Ku petik bunga tersebut. Cantik. Kelopaknya putih bersih. Bunga tersebut ku petik lalu ku hidu baunya. Wangiannya sangat harum sehingga terpejam mata ini. Tiba-tiba bau busuk seperti bau bangkai menusuk ke rongga hidung. Mataku terbuka. Ku lihat separuh dari tangkai bunga yang masih di atas bumi mengeluarkan darah merah seakan hitam pekat membuak buak keluar. Bunga di tanganku, terkulai layu lalu hangus terbakar. Tercampak bunga itu dari tangan yang memegangnya.
Burung-burung yang bersembunyi didalam pohon, keluar berterbangan di dada langit. Berterbangan tidak menentu arah. Satu demi satu burung-burung tersebut jatuh ke atas bumi ini tidak bernyawa. Semakin lama, semakin banyak.
Setitis air menitis dipipiku. Aku mengesat air tersebut dengan jari jemari ini. Darah?! Apakah semua ini?! Darah mula membasahi aku seperti hujan. Baju putih yang ku pakai berubah warna dan basah lencun. Serta merta semua pohon yang ku pandang, terbakar. Sungguh tidak masuk akal kerana pada masa yang sama, hujan darah membasahi bumi. Aku melangkah ke atas batu yang paling tinggi. Aku melihat sekeliling. Tiada apa yang tertinggal untuk aku. Aku keseorangan. Aku menjerit melepaskan semua yang terpendam didalam dada ini. Aku menangis, ketawa mengilai dan memeluk tubuh yang ketakutan.. Apakah yang sebenarnya terjadi? Kenapa aku didalam keadaan ini? Apakah salahku sehingga aku terperangkap dalam dimensi ini?
Aku Tidak Tahu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan